Pages

Sunday, October 30, 2011

Pembebasan 1


Seorang gadis sedang berjalan sambil membawa sebakul bunga untuk dijual di tepi jalan raya yang sunyi pada malam itu. Sekali-sekala sebuah dua kenderaan meluncur laju. Gadis yang berambut perang yang diikat tocang itu mengesat peluh yang mengalir.

“Bunga! Bunga!” teriak gadis tadi. Namun, teriakannya itu tidak dipedulikan oleh orang ramai yang lalu lalang di Bandar Fryer. Ada yang sekadar melemparkan jelingan ke arah bakul yang dipenuhi bunga yang bewarna-warni.

Daim sekadar merenung dari jauh. Sudah lama dia memerhatikan gadis itu. Kau mungkin sudah melupakan aku, detik hati Daim. Dia dan gadis itu sudah lama tidak bersua rupa. Lama...

Telefon bimbitnya berbunyi tiba-tiba, sekaligus mematikan angan-angannya. Daim bercakap dengan seseorang, serius nadanya. Sekali-sekala dia mengangguk. Kemudian, dia terus memecut laju dengan motorsikal canggihnya itu, meninggalkan gadis berambut perang itu.

“Fahmi...” tutur gadis itu. “Iera rindukan abang... kalaulah abang ada... Iera tak akan sesusah ini,” tutur Iera perlahan. Dia merenung sebuah istana yang tidak jauh daripada lokasi daripada dia menjual bunga.

“Empayar Razor!” tutur Iera geram.

Empayar Razor merupakan kerajaan yang menaungi Planet Ceratos, tempat yang didiami oleh Iera sekarang. Empayar Razor ialah sebuah kerajaan yang sangat kuat dan diperintah oleh seseorang perempuan yang bernama Ratu Eskerina. Penghuni Ceratos sangat membenci Ratu Eskerina. Ketamakkan perempuan tua itulah yang membuatkan Planet Ceratos seperti hampir nazak.

Tenaga Planet Ceratos yang dipanggil Esperia digali dan disedut oleh Empayar Razor untuk kepentingan mereka dalam peperangan, menjajah seluruh planet di sekeliling mereka. Akibatnya, keadaan Ceratos saling tidak tumpah seperti neraka. Udara menjadi tercemar akibat kilang-kilang galian yang dipanggil reaktor. Di bandar Fryer, terdapat lapan buah reaktor yang di bina.

“Iera...” tutur satu suara. Lamunan Iera tersentak. Pantas gadis itu menoleh dan seorang lelaki yang bertatu di separuh wajahnya, berkepala botak dan berjaket hitam sedang menghampirinya sambil diapit oleh dua orang yang berpakaian serba hitam.

“Jeneral Seraxon!” seru Iera. “Apa yang kau nak daripada aku?”

“Saja singgah. Jual bunga kau sekarang ni ya? Apa khabar arwah suami kau? Si Fahmi tu?” tutur Seraxon sambil tersenyum sinis. Iera sekadar melemparkan renungan tajam. Geram dia melihat lelaki yang bernama Seraxon itu. Berani dia berjumpa dengannya selepas apa yang dilakukan.

“Aku tak kacau kau, jadi sila jangan kacau aku!” marah Iera.

“Aku tak akan berhenti kejar kau!” balas Seraxon.

“Bermimpilah kau botak!” tempik Iera lalu melangkah pergi, meninggalkan Seraxon. Gadis itu melangkah laju sebelum menghilang dari pandangan Seraxon yang masih tersenyum.

“Kau akan jadi miliki aku...” tutur Seraxon. “Apa-apa pun, mana dia dapat bunga tu? Bunga tidak pernah tumbuh di Fryer sejak sepuluh tahun lalu...” Seraxon turut berlalu lalu menghilang ke dalam keretanya. Bandar Fryer ditutupi oleh asap hitam yang telah menghalang cahaya dari bintang Hugo. Asap hitam itu berpunca daripada reaktor yang fungsinya untuk mengali Esperia, sumber tenaga Planet Ceratos demi peperangan bodoh.

***

Kereta api yang membawa pekerja Empayar Razor sedang meluncur laju di atas landasan yang di bina di tengah-tengah Kota Fryer. Landasan itu membawa kereta api itu ke salah satu daripada 8 reaktor yang dibina. Stesen Reaktor 1 sedang menanti tidak jauh daripada lokasi kereta api bergerak tersebut.

Kelihatan dua orang lelaki yang sedang memegang selaras senapang, berpakaian serba merah. Askar Empayar Razor sedang berjaga pada lewat malam itu. Kelihatan salah seorang daripada mereka menguap.

“Bosan kerja ni,” rungut salah seorang daripada askar yang sedang berjaga. Hanya orang yang dibenarkan sahaja boleh menjejakkan kaki ke reaktor. Selalunya mereka merupakan saintis, pekerja Empayar Razor atau askar yang bertugas. Apabila kereta api berhenti di mana-mana stesen reaktor, penumpang akan diperiksa bagi memastikan tiada penceroboh.

“Ratu Eskerina memang paranoid. Macamlah ada yang berani nak jejak kaki ke reaktor,” kata askar itu lagi. Rakannya mengangguk lagi, memilih untuk membisu. Perbualan terhenti sebaik sahaja kereta api berhenti.

Dam! Seorang lelaki gemuk melompat dari atas kereta api itu, kemudian diikuti oleh seorang gadis. Mereka berdua berlari ke arah dua orang askar tadi lalu menghadiahkan beberapa pukulan, membuatkan dua orang askar tadi pengsan.

Kemudian, terjun dua orang lagi dari atas kereta api, kali ini seorang lelaki yang berkulip coklat gelap dan seorang lelaki yang berambut perang, Daim. Mereka berempat saling berkongsi pandangan sebelum tersenyum.

Daim sedang mengusung sebilah pedang yang saiznya amat besar dan kelihatan sangat berat tetapi begitu senang di bawa oleh Daim. Lelaki berkulit gelap itu pula memegang sejenis senjata api yang dipanggil Gatling Gun. Tubuh lelaki berkulit gelap itu agak berketul-ketul dan berotot.

“Perkenalkan, Daim Ahmad. Dia akan membantu kita dalam misi kali ini,” tutur lelaki berkulit gelap itu.

“Dia... parut di lengan dia... dia askar Razor ke Yai?” soal gadis tadi.

Daim sekadar tersenyum. Yai melontarkan renungan ke arah Daim yang berpakaian serba hitam, dengan jaket tidak berlengan yang disarungkan di tubuhnya yang tidak langsung berbaju. Seluar jeans yang dipakai oleh Daim kelihatan lusuh.

“Aku bekas askar,” tutur Daim dingin.

“Jadi, dia di pihak kita ya?” tanya lelaki gemuk itu pula. Yai mengangguk.

“Sekarang bukannya masa untuk kita bersembang macam ni. Kamu semua kena ikut aku, jalan untuk ke reaktor satu sangat berselirat. Hanya orang yang mahir dengan selok belok reaktor ini sahaja yang tidak akan sesat. Apa-apa pun ada ratusan askar Razor di sini. Kita kena hati-hati,” tutur Daim tiba-tiba.

“Berpecah seperti mana yang aku arahkan masa briefing tadi,” kata Yai pula. Mereka berempat berpecah mengikut arah masing-masing. Daim mengekor si gadis dan lelaki gemuk itu masuk ke dalam banggunan reaktor yang tersergam tidak jauh daripada stesen kereta api manakala Yai membawa arahnya sendiri.

Lama mereka berlari sehinggalah tersempak dengan dua orang askar Razor yang sedang berkawal. Namun, kehebatan ilmu pertempuran Daim membuatkan dua orang askar tadi bukan tandingan kepada kepantasan dan kekuatan yang dimiliki oleh Daim. Pedang gergasi yang diusung oleh Daim jelas banyak membantu.

“Kita dah sampai,” tutur si gadis yang bernama Juliana itu. Ada pintu besi yang menghalang jalan mereka. Langkah mereka mati di situ sambil lelaki gemuk yang bernama Arief itu terduduk keletihan sambil bersandar di koridor di dalam reaktor.

“Macam mana sekarang?” tanya Daim.

“Serahkan kepada saya,” tutur Juliana sambil mengenyitkan matanya. Ada komputer di sebelah pintu besi. Kelihatan seperti seseorang perlu memasukkan kata laluan sebelum pintu tadi terbuka.

Tiba-tiba muncul tiga orang askar Razor yag datang entah dari mana, mengejutkan Arief yang spontan berdiri sambil menggengamkan penumbuknya, bersedia untuk bertarung. Daim pula kelihatan sangat luar biasa tenangnya.

“Tolong aku selesaikan mereka sementara aku pecah masuk sistem keselamatan reaktor ni,” tutur Juliana serius. Daim sekadar mengangguk lemah sambil menghentakkan pedang gergasinya ke tanah.

“Menyerah diri atau kamu kami tembak!” arah salah seorang daripada tiga askar Razor itu.

“Serahkan dia pada aku seorang Bob,” tutur Daim tenang. Belum sempat picu senapang askar Razor ditekan, Daim sudah bertindak terlebih awal dengan membelah dada orang yang melotarkan ugutan tadi dengan kepantasan yang bukan milik manusia biasa.

Dua orang askar yang lain melepaskan tembakan tetapi tembakan itu mengenai pedang gergasi Daim. Daim sempat menjadikan pedang yang diperbuat daripada besi yang disalut dengan gangsa itu sebagai pelindung.

Zrashh! Dua orang askar Razor itu tumbang selepas menjadi mangsa pedang Daim. Arief menonton pertempuran tadi dengan perasaan yang penuh teruja.

“Beres!” tutur Daim serentak dengan Juliana.

“Kami patut bersyukur bila adanya kau di pihak kami. Pasukan Dark Eagle pasti akan bertambah kuat nanti bila kau menyertai kami,” tutur Arief yang kelihatan sangat teruja. Daim sekadar menggelengkan kepalanya sebelum berkata.

“Pembetulan, aku bukan di pihak Razor ataupun pasukan pemberontak Dark Eagle kamu. Aku buat kerja ni pun sebab Yai janjikan aku upah yang sangat lumayan, dan kalau misi ini berjaya, aku akan dapat duit itu.”

Arief sekadar melontarkan renungan hampa manakala Juliana menepuk-nepuk bahu Arief, seolah-olah cuba menghalau kesedihan yang bersarang di hati lelaki gemuk itu. Mereka bertiga menerukan perjalan, meneroka ke dalam kawasan reaktor.

Lama mereka berjalan sehinggalah tiba di satu persimpangan, mereka tersempak dengan Yai dan seorang lelaki yang mengikat bandana di kepalanya. Lelaki itu berhidung mancung seperti paruh burung, berdagu runcing dan berjambang nipis.

“Yai dengan Gear!” tegur Juliana.

“Budak ni siapa?” tanya Gear spontan sambil bersalaman dengan Daim.

“Budak mentah yang aku upah. Dia boleh bantu kita,” kata Yai sambil membelek-belek senjata apinya.

“Jaga mulut kau. Aku bukan budak mentah,” pintas Daim bengang.

“Kau muda lagi. Memang budak mentah!” Yai tidak mahu mengalah.

“Budak mentah ini boleh belah badan kau dalam masa sesaat aje kalau dia suka,” tutur Daim yang kelihatan agak bengang dengan sikap Yai yang agak lancang mulutnya. Yai pula merenung tajam, seperti seekor helang yang sedang memerhatikan mangsanya.

“Dah-dah, kamu berdua. Cukup, jangan bergaduh lagi. Yang penting kita kena pergi ke bahagian teras reaktor ni. Kita pasang bom dan selesaikan tugas kita!” pintas Juliana apabila merasakan bahawa Yai dan Daim akan bertarung antara satu sama lain. Yai dan Daim menarik muka selepas ditegur oleh Juliana.

“Aku tak tahu apa yang Zafirah nampak kat budak ni,” gerutu Yai sendirian. “Kalau tak kerana Zafirah, aku tak akan upah budak ni.”

***

Pasukan pemberontak Dark Eagle yang diketuai oleh Yai terkepung bersama seorang lelaki berambut perang yang merupakan seorang bekas askar yang telah diupah untuk menjayakan misi itu bersama mereka.

“Macam mana mereka tahu yang kita ada kat sini?” soal Arief gusar. Lampu merah sudah dinyalakan sebagai peringatan kepada penghuni reaktor 1 bahawa terdapat penceroboh di dalamnya. Kelihatan belasan orang askar yang lengkap beruniform Razor yang serba merah sedang mengelilingi mereka.

“13 orang,” tutur Daim perlahan. Yai pula tidak langsung mengalihkan pandangannya daripada melekat di wajah Daim.

“Serah diri atau kamu kami tembak!” arah askar yang mengepung mereka.

“Aku tak akan lepaskan kau pengintip!” tutur Yai geram lalu melepaskan tembakan tanpa henti mengenai askar yang mengelilingi mereka. Daim dan Gear pula mengambil kesempatan itu dengan menyerang askar-askar yang lain sepantas kilat.

“Aku bukan pengintip!” tutur Daim sebaik sahaja menghabiskan musuh yang terakhir dengan pedang gergasinya. Yai menghampirinya lalu menghadiahkan sebuah tumbukan mengenai pipi Daim lalu membuatkan jejaka itu tersungkur.

“Demi tuhan yang aku bersumpah bahawa aku bukan pengintip Razor. Untuk apa aku jadi tali barut kepada orang yang telah mengkhianati aku? Kau pun tahu sejarah silam aku kan? Ain Zafirah tak cerita pada kau ke?” tempik Daim bengang sambil mengesat darah merah yang mengalir dari bibirnya.

Yai mati kata-kata. Persengeketaan itu tidak berpanjangan apabila mereka dihampiri oleh belasan askar Razor buat kali kedua. Kali ini, Yai dan Daim sudah bersedia untuk bertarung sebelum dihalang oleh Gear.

“Aku, Arief dengan Juliana sudah cukup untuk selesaikan mereka semua. Kau dengan Yai teruskan perjalanan ke bahagian teras. Pasang bom yang aku cipta untuk letupkan reaktor ni!” tutur Gear sambil menyentuh lembut bahu Daim. Selepas masing-masing berbalas renungan, akhirnya Daim mengalah sambil tersenyum.

“Sekarang bukan masa untuk bersandiwara. Mari pergi!” tutur Yai mendahului Daim menghilang daripada situ. Arief dan Juliana telah membuka jalan untuk dua orang bakal hero itu meneruskan perjuangan mereka, Yai dan Daim.

No comments:

Post a Comment